Myphotographer on Berita Harian

Update on July 28th, 2008 by Fuad

Direnjis-renjis: Memori raja sehari
Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bahrian.com.my

TERBARU: Rekaan album yang menjadi pilihan ramai untuk mengabadikan gambar perkahwinan.

BERTUNGKUS lumus menguruskan persiapan majlis perkahwinan mengambil masa lebih daripada lima bulan. Sudahnya, majlis hanya diraikan sehari saja dan ia berlaku bagaikan ’sekelip mata’. Tidak dinafikan, kebanyakan mempelai sanggup berhabisan wang ringgit demi pakaian pengantin, hiasan indah pelamin, set barang hantaran dan sebagainya. Namun, ada sesetengah mereka mengabaikan peranan fotografi dan album perkahwinan. Album gambar perkahwinan adalah satu-satunya kenangan yang boleh disimpan hingga ke akhir hayat selain berfungsi untuk pengimbas kembali sejarah perkahwinan bersama insan tersayang. Teknologi terkini album kahwin: Konsep buku eksklusif tahan lama, kalis air

ALBUM gambar perkahwinan menjadi titik sejarah dan ia adalah kepuasan terakhir setiap mempelai. Kini, pelbagai jenis album gambar perkahwinan ditawarkan di pasaran dengan berbagai rekaan tersendiri, menarik serta unik.

Lazimnya, album yang memuatkan gambar majlis perkahwinan berbeza daripada album biasa, malah lebih eksklusif penampilannya.

Bagaimanapun, cita rasa masyarakat masa kini semakin tinggi sehingga tidak kisah mengeluarkan belanja besar untuk majlis Raja Sehari dan ramai jurugambar perkahwinan menawarkan pakej fotografi bersama album khusus untuk majlis berkenaan pada harga berpatutan.

Jurugambar perkahwinan profesional, Ahmad Fairus Mohammed Noor, berkata selari dengan kehendak pengantin dari zaman ke zaman, konsep album gambar semakin banyak perubahan. Konsep album gambar terbaru dan segar sekali gus memberi kelainan kepada mereka yang cintakan seni fotografi.

Katanya, jika dulu, gambar perkahwinan yang diambil hanya dilekatkan di dalam album gambar biasa, tetapi kini konsep itu tidak lagi popular. Walaupun masih lagi ada permintaan, tetapi semakin berkurangan kerana konsep lekat hanyalah teknik mudah dilakukan.

“Kebanyakan pengantin generasi sekarang memiliki cita rasa tinggi. Sehubungan itu, kini banyak galeri fotografi perkahwinan menawarkan album gambar jenis ’story board’ atau album buku dengan menggunakan teknik ‘hot press’. Ia seakan buku meja kopi atau ‘coffee table book’ dan lebih eksklusif dan bersesuaian dengan tema perkahwinan pelanggan.

“Berdasarkan konsep itu gambar yang diambil bukannya dilekat di dalam album berkenaan, tetapi tekniknya dicetak terus diatas setiap helaian dalam album berkenaan. Konsep terbaru ini nampak lebih ekslusif dan kini semakin popular kerana ia adalah konsep terbaru album perkahwinan moden,” katanya ketika ditemui di program Pameran Pengantin Malaysia 2008 yang berlangsung di pusat beli belah Mid Valley, baru-baru ini.

Ahmad Fairus yang juga antara jurugambar profesional Click Couture berkata, menarik mengenai album buku ini, gambar yang diambil dari mula hingga tamat majlis, dicetak menjadi sebuah cerita perjalanan majlis perkahwinan dua mempelai. Selain itu, setiap gambar atau setiap helaian dihuraikan dalam bentuk penulisan yang diselitkan dalam helaian berkenaan menggunakan tulisan menarik.

“Bagaimanapun, berbanding konsep lama, album buku terbaru ini memberi banyak kebaikannya. Antaranya gambar yang dimuatkan dalam album berkenaan akan tahan lama, tidak mudah koyak, tidak akan lapuk dek zaman serta kalis air. Kualiti kertas juga lebih tinggi kerana teknik ‘hot press’ saja sudah menunjukkan kualiti produk berkenaan,” katanya

Ahmad Fairus berkata, penawaran album gambar perkahwinan semakin banyak di pasaran, malah jurugambar semakin kreatif dalam menghasilkan album lebih berkualiti, unik dan eksklusif. Malah, kulit album juga kini semakin banyak pilihan. Ada yang diperbuat daripada kulit, kain baldu, PVC, kaca, kayu dan banyak lagi mengikut kemahuan pelanggan.

“Selain menggunakan kulit album berkualiti, peranan warna dan juga rekaan muka depan album secara tidak langsung menarik perhatian untuk melihat apa yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, peranan utama dalam menghasilkan album gambar lebih unik dan eksklusif adalah jurugambar itu sendiri. Sekiranya teknik fotografi tidak kreatif dan tidak terbuka, maka album juga tidak akan nampak menarik.

“Banyak perbezaan antara dulu dan sekarang. Dulu, album gambar hanya memuatkan gambar pengantin yang sedia fokus dengan aksi memandang kamera di pelamin dan bilik pengantin. Walaupun ia masih ada, kini tidak banyak dilakukan dan album gambar perkahwinan banyak memainkan gambar ‘candid’ atau spontan pengantin, keluarga dua pihak dan tetamu jemputan.

“Itu barulah dikenali sebagai liputan menyeluruh. Gambar yang dirakam bukan saja untuk menyaksikan diri sendiri, contohnya, tetapi pelanggan (pengantin) juga teringin melihat aksi mereka yang hadir di majlis perkahwinan. Apa yang berlaku ketika sibuk di atas pelamin dan melayan tetamu,” katanya.

Ahmad Fairus berkata, pengantin bagaimanapun perlu tahu dan meneliti konsep album serta konsep fotografi yang dikehendaki kerana album gambar perkahwinan diambil hanya sekali seumur hidup.

Walaupun sudah berkahwin beberapa kali, album fotografi perkahwinan tetap diperlukan untuk dijadikan kenangan.

petikan dari berita harian online http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Ratu/20080725082427/Article

One Response to “Myphotographer on Berita Harian”

  1. gry planszowe Says:

    Ciekawa strona, trafilem tu przypadkowo, ale od dzis bede wpadal czesciej, pozdro

Leave a Reply